Wednesday 9 May 2012

ilmu asas menyelamat

MELAKA: Menyedari pentingnya setiap individu memiliki kemahiran asas menyelamat supaya dapat memberi bantuan segera ketika situasi kecemasan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) giat melatih anggota Pasukan Bertindak Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah JPAM (Pengurusan), Zainun Saleh berkata, sejak ditubuhkan pada 2002, terdapat 391 CDERT membabitkan kira-kira 2,500 orang berdaftar dan dilatih pihaknya di seluruh negara.

Beliau berkata, keanggotaan itu membabitkan pekerja kilang, penduduk taman perumahan serta sukarelawan peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kami sasarkan untuk menarik lebih ramai penyertaan daripada pekerja dalam industri perkilangan, syarikat swasta dan penduduk di taman perumahan di dalam program ini berikutan semakin ramai terdedah kepada risiko dan bahaya di sekeliling mereka.

“Menerusi program ini, ia mampu memberi pengetahuan kaedah bantuan kecemasan awal bagi menyelamat mangsa yang dilanda bencana atau kemalangan dalam pelbagai situasi sebelum bantuan lanjut daripada pasukan penyelamat lain tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Program CDERT peringkat negeri di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Ayer Keroh, dekat sini, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengarah Pengurusan Angkatan JPAM, Roslan Wahab; Pengarah JPAM, Pang Ah Lek serta Pegawai Perhubungan dan Timbalan Pengerusi CDERT negeri (M-CDERT), Joshua Albert Goh Thien Yew.

Mengulas lanjut, Zainun berkata, pihaknya mensasarkan untuk melatih lebih 2,300 individu khususnya dari sektor perkilangan dan organisasi awam di seluruh negara menerusi CDERT pada tahun ini.

Katanya, pihaknya berharap dapat menubuhkan sekurang-kurangnya lima CDERT di setiap negeri dengan penyertaan kira-kira 30 anggota bagi setiap pasukan.

“Matlamat kami supaya semua orang atau sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga mempelajari ilmu asas menyelamat supaya dapat memberi bantuan segera jika berdepan situasi kecemasan, kemalangan atau bencana.

“Selagi tidak diberi latihan atau kemahiran asas menyelamat, mereka tidak boleh melakukan tugas menyelamat kerana dibimbangi menimbulkan masalah.

“Tiada had umur ditetapkan untuk menjadi anggota JPAM atau CDERT dan paling utama peserta mestilah masih berkemampuan dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Pada majlis itu, 468 orang daripada 20 pasukan mewakili sektor perkilangan dan penduduk taman perumahan di negeri ini menerima Sijil Latihan Asas Kemahiran Peringkat Dua CDERT selain 16 pegawai JPAM turut menerima watikah sebagai Pegawai Bersekutu pelbagai pangkat, iaitu seorang kolonel, tiga leftenen kolonel dan 12 kapten.